Tiba-tiba pandai menjahit !!

Tiba-tiba pandai menjahit

Dengan perkembangan ekonomi yang kurang memberangsangkan, kini semua orang ingin mencari pendapatan sampingan. Berniaga secara kecil-kecilan antara cabang bisnes yang boleh dilakukan tetapi ia memerlukan modal permulaan yang banyak.
Antara kemahiran yang menjanjikan pendapatan lumayan jika diusahakan secara bersungguh-sungguh adalah bidang jahitan. Namun, terdapat beberapa kekangan yang sering diluahkan mereka yang mahu belajar menjahit iaitu tiada masa mengikuti kursus jahitan yang kebanyakannya dikendalikan berulang-kali atau sehari suntuk.
Inilah sebabnya pengasas Sekolah Jahitan Yasalma (YSS), Siti Salmah Noordin, 34, yang berpengalaman mengendalikan kelas jahitan menerusi dalam talian memikirkan satu cara terkini bagi membantu wanita menyelesaikan masalah mereka.
“Saya memberanikan diri dan berfikir di luar kotak untuk menganjurkan Kursus Tiba-Tiba Pandai Menjahit (KTTPM) dengan tujuan membolehkan peserta pandai menjahit satu jenis pakaian pilihan dalam masa setengah hari sahaja,” katanya.
Jelas Siti Salmah, dengan modul sendiri yang direka khas iaitu berkonsepkan simulasi belajar menjahit baju berukuran kecil, ia menekankan idea asas membuat pakaian. Modul berbeza untuk setiap kelas seperti jubah, gaun, kebaya, kurung Pahang, baju Melayu, jubah lelaki, skirt labuh, kardigan, blaus serta tudung yang pelbagai.
Untuk kelas di dalam dewan pula modul ditawarkan iaitu jubah potongan A. Ia ibarat asas untuk semua potongan pakaian. Ini bermaksud, jika peserta pandai membuat jubah potongan A, maka secara automatik mereka boleh menghasilkan baju kurung moden, gaun dan pelbagai rekaan blaus.
“Sebagai gambaran, contohnya untuk seseorang itu pandai memasak nasi lemak, cukuplah mereka belajar menggunakan satu pot beras dengan periuk kecil. Tidak perlu belajar memasak menggunakan periuk besar yang sudah pasti memerlukan lebih beras dan air serta memakan masa yang lebih lama untuk masak dengan sempurna,” katanya.
Apa yang penting asasnya adalah sama. Saiz dan kuantiti sahaja berbeza. Konsep yang sama dipraktikkan dalam modul TTPM ini iaitu setiap peserta dalam dewan dibekalkan dengan bahan untuk membuat sehelai baju pilihan bersaiz anak patung Barbie.
Pada masa sama tutorial ditayangkan langkah demi langkah bermula dari membentang kain, melipat, melakar pola, memotong dan mencantum sehingga baju siap sempurna sama seperti membuat baju saiz sebenar.
“Disebabkan saiznya yang kecil maka cantuman adalah menggunakan jahitan tangan. Peserta sangat teruja dan meluahkan rasa terharunya kerana berjaya menyiapkan baju walaupun bersaiz kecil, namun ia sudah cukup bagi memupuk rasa keyakinan diri yang tinggi untuk mempraktikkannya selepas kursus,” katanya.
Menurut Siti Salmah, modul ini berjaya dilaksanakan secara persendirian di serata Malaysia termasuk Singapura sejak 2013. Kejayaan peserta mempraktikkan apa yang dipelajari selepas kursus setengah hari itu membuktikan ia membantu ramai wanita yang sibuk bekerja mahupun suri rumah yang menguruskan anak-anak.
Bantuan guru terlatih
Menerusi kelas di dalam dewan ini, semua peserta akan pulang bersama buku rujukan, e-book jahitan, kupon konsultasi secara dalam talian bagi memudahkan untuk berinteraksi dengan guru jahitan.
Pada masa sama YSS membantu peserta sehingga berjaya membuat pakaian mengikut ukuran sebenar pemakai. Terbukti modul ini sangat praktikal dan menghasilkan kejayaan. Menariknya kursus simulasi menjahit baju ini bukan sekadar kursus untuk pandai menjahit, malah peserta mengakui kursus ini sebagai terapi diri, mampu memberi kegembiraan dan mengurangkan tekanan.
“Mana tidaknya, dalam hanya beberapa jam peserta berjaya menyiapkan replika gaun yang cantik sedangkan mereka langsung tidak pernah menjahit. Saya masih ingat lagi pernah diserbu dan dipeluk peserta sambil mereka menangis terharu gembira dan mengucapkan terima kasih kerana menganjurkan kursus yang luar biasa.
“Lebih menarik selepas tamat kursus, tidak sampai 24 jam sudah ada beberapa peserta menghantar gambar gaun saiz sendiri yang baru dijahit di rumah dengan hanya berpandukan langkah simulasi ketika kursus,” katanya.
Selain suri rumah dan wanita berkerjaya, kebanyakan peserta adalah pelajar dan golongan profesional termasuk doktor. Ada juga yang sanggup terbang dari Sarawak untuk mengikuti kursus ini.
Sebagai moderator dia mengakui perlu fokus dan mampu mengawal keadaan kerana 100 peratus peserta langsung tiada asas dalam jahitan. Antara cabaran untuk peserta apabila perlu meniru langkah demi langkah membuat baju sehingga siap. Fasilitator perlu berlari ke sana sini bagi membantu pelajar yang mungkin sedang menghadapi masalah ketika proses menyiapkan baju terbabit.
“Fasilitator yang dilatih perlu tangkas memastikan semua peserta menyiapkan tugasan secara serentak dan dalam tempoh dijadualkan. Selepas tamat kursus pula saya perlu memantau secara dalam talian bagi memastikan peserta terus bersemangat dan berjaya mengaplikasikan ilmu simulasi untuk membuat baju saiz mereka sendiri di rumah. Alhamdulillah semua berjaya membuat sendiri pakaian secepat 24 jam selepas tamat kursus,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut sebagai jurulatih berpengalaman dalam bidang jahitan Siti Salmah merasakan modul yang disediakan ini bersesuaian dengan jiwa kewanitaan bagi memupuk keyakinan dan kepercayaan pada diri. Kursus ini juga tidak terhad hanya untuk mereka yang mahu belajar menjahit saja atau ingin menambah kemahiran hidup tetapi sebagai kursus motivasi diri.
“Itulah sebabnya ada beberapa syarikat korporat menjemput saya untuk menganjurkan kursus menjahit dalam masa tiga jam bertujuan untuk terapi diri dan memupuk keyakinan. Ia juga sebagai aktiviti luar dari bidang kerja,” katanya.
Perintis kelas menjahit dalam talian
Sebagai perintis kelas menjahit dalam talian sejak 2012, YSS sentiasa menambah baik rekaan pakaian untuk diajar kepada peserta. Idea mengadakan kelas jahitan menerusi alam maya bermula pada Julai 2013. Ia idea spontan apabila ketika itu dia disahkan hamil anak keempat. Akibat alahan agak teruk, bidang rekaan fesyen Yasalma juga terbantut. Banyak tempahan pakaian tidak dapat dipenuhi. Begitu juga dengan kelas jahitan.
“Saya hanya duduk di rumah dan tidak mampu mengajar menjahit secara bersemuka di bengkel. Namun permintaan belajar menjahit semakin tinggi. Saya mula memikirkan jalan terbaik untuk memenuhi permintaan. Akhirnya Allah memberi ilham untuk cuba mengajar menerusi WhatsApp.
“Saya buka 20 penyertaan percubaan dengan jaminan wang dikembalikan kepada pelajar sekiranya mereka tidak berjaya menjahit baju sehingga siap. Alhamdulillah, dengan modul olahan khas untuk mereka yang langsung tiada asas dalam jahitan, semua berjaya menyiapkannya termasuk pelajar dari Singapura,” katanya lagi.
Sehingga kini kelas secara dalam talian terus aktif dan mendapat perhatian dari seluruh Malaysia dan mereka yang tinggal di luar negara seperti Arab Saudi, Brunei, Australia, United Kingdom Amerika dan Sweden.
“Selain kelas dalam talian, saya sedang giat menyiapkan e-book panduan membuat pakaian versi paling senang khas untuk mereka yang bercita-cita menjahit pakaian untuk keluarga. E-book ini akan dihasilkan dalam beberapa bahasa utama dunia untuk pelbagai potongan pakaian,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut matlamat Yasalma mengadakan kelas menjahit besar-besaran sama ada dalam talian atau bersemuka adalah sebagai jalan pintas dan mudah untuk membantu wanita supaya mempunyai kemahiran tambahan yang sangat bernilai dalam kehidupan.
“Saya sendiri menyaksikan ibu membantu ayah membesarkan kami 11 beradik dengan pendidikan sempurna hingga berjaya dengan hanya menjadi tukang jahit dari rumah. Saya juga bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak atau organisasi yang berminat untuk mengembangkan lagi idea ini.
“Impian saya adalah menganjurkan kelas menjahit dalam dewan terbesar suatu hari nanti yang membabitkan 1,000 peserta sekali gus,” rancangnya yang akan menerbitkan buku ketiga bertajuk Oh! Mudahnya Buat Jubah Lelaki selepas buku Oh! Mudahnya Buat Baju Kurung dan Oh! Mudahnya Jahit Jubah mendapat tempat dalam kalangan peminat koleksi buku jahitan.

0 Response to "Tiba-tiba pandai menjahit !!"

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close