Saffron Malaysia

Saffron Malaysia

Saffron, sejenis tumbuhan herba daripada jenis ‘loridacces’ antara khazanah alam yang termahal di dunia.
Saffron yang juga dikenali sebagai Za’afaran atau nama saintifiknya, Crocus sativus terkenal dengan khasiatnya sejak dahulu lagi.
Justeru, ia digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional. Khasiat dan nilai komersialnya memang tinggi. Namun, penggunaannya masih terhad berikutan harganya terlalu mahal.
Saffron kaya dengan vitamin B1 dan B2 (riboflavin dan tiamin) selain banyak lagi bahan yang mempunyai khasiat farmaseutikal cukup tinggi.
Di samping itu, warnanya yang menarik serta baunya harum menyebabkan ia sering digunakan sebagai bahan campuran semula jadi dalam pelbagai jenis makanan terutama rempah-ratus.
Tumbuhan ini hanya ditanam di negara empat musim. Saffron hanya akan berbunga pada musim luruh. Negara yang paling banyak mengeluarkan saffron ialah Iran, iaitu kira-kira 90 peratus daripada pengeluaran dunia.
Negara lain seperti India, Pakistan, Sepanyol, Perancis juga turut menanam tanaman ini. Saffron turut ditanam di beberapa negara lain yang beriklim Mediteranean.
Bagaimanapun, sekumpulan penyelidik Institut Sains Biologi (ISB), Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) berjaya menghasilkan saffron serupa dengan yang dihasilkan di negara asal tumbuhan ini.
Ketua Penyelidik Prof Dr Rosna Mat Taha berkata, penyelidikan tiga tahun sejak 1 September 2014 itu dibiayai melalui Geran Penyelidikan UM (UMRG) di bawah kluster Frontier Science melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berjumlah RM400,000.
Beliau berkata, saffron tidak mudah hidup di laman rumah atau tepi jalan di negara ini kerana ia memerlukan kaedah khusus disebabkan cuaca panas dan hujan lebat tidak sesuai untuk tumbuhan ini.
“Kami memperoleh biji benih saffron yang dipanggil umbisi atau ‘corm’ dari Iran, Perancis dan Pakistan. Kita mengenal pasti keadaan sesuai dan rawatan awal untuk membolehkan tumbuhan ini ditanam di negara ini.
“Kepentingan dan kegunaannya tidak perlu dipersoalkan lagi. Bahagian yang digunakan sebagai rempah ialah bahagian betina bunga iaitu stigma berwarna merah.
“Walaupun memerlukan banyak bunga untuk mendapatkan rempah berkenaan, harganya yang mahal mendatangkan pulangan tinggi dan berbaloi,” katanya.
Dr Rosna berkata, kajian lebih menyeluruh untuk bahan yang terkandung dari pelbagai bahagian spesies itu tidak terhad kepada penggunaan stigma sebagai rempah semata-mata.
“Eksploitasi terhadap semua bahagian bunga, contohnya sangat berguna kerana bunganya yang berbau harum digunakan juga untuk memproses minyak wangi.
“Selepas menyemai ‘corm’ dalam tempoh lima minggu ia akan mengeluarkan anak pokok dan dalam dua bulan ia sudah mengeluarkan bunga.
“Kaedah penyelidikan yang dijalankan mendapati tanaman saffron dalam bilik berhawa dingin dengan suhu 20 Celsius berjaya mengeluarkan hasil yang sama dengan saffron di negara asal,” katanya.
Menurutnya, kajian mendapati tanaman saffron di negara empat musim mengambil masa antara tiga hingga empat bulan untuk berbunga berbanding ditanam di sini hanya mengambil masa dua bulan setengah.
“Bagaimanapun, bunganya tidak dapat bertahan lama iaitu hanya lima hingga tujuh hari. Disebabkan tujuan utama untuk memperoleh stigma yang akhirnya perlu dikeringkan juga, perkara ini tidak mendatangkan masalah.
“Penghasilan anak benih dari tisu kultur penting untuk membiakkan saffron kerana secara semula jadi hanya tiga hingga lima corm dihasilkan dalam setahun,” katanya.
Beliau berkata, penyelidikan itu hasil kerjasama penyelidik Dr Sadegh Mohajer dengan pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) iaitu Nordiyanah Anuar, Asif Khan, Noraini Mahmad, Hashimah Elias, Aziemah Abd Manan, Nor Amirah Md Nor serta pembantu penyelidik Norlina Rawi dan Nor Rashida Ramli.
Selain kajian mengenai tisu kultur dan pembungaan saffron, kajian lain berkaitan kegunaan saffron sebagai solar sel, sebatian yang terkandung dalam ekstrak saffron turut dikaji Prof Dr Abdul Kariem Mohd Arof daripada Jabatan Fizik, Fakulti Sains UM dan Dr Ahmad Faris Mohd Adnan dari ISB UM yang juga penyelidik bersama untuk UMRG.

0 Response to "Saffron Malaysia"

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close